Bergelar juara, Da'i Hamidah bawa pulang RM50,000. Da'i musim ketiga telah pun berakhir semalam dengan menobatkan Da'i Hamidah sebagai juara program realiti keagamaan itu.
Da'i Hamidah nampak mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan dakwah ketika berentap dengan dua lagi peserta akhir iaitu Da'i Fuad dan Da'i Hidayu .
Bergelar juara, Hamidah atau nama sebenarnya Hamidah Ab Razak, 23, berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM50,000 berserta trofi, pakej umrah dan saham PNB.
Berjaya mengumpul markah keseluruhan sebanyak 85.9 peratus, Hamidah juga turut dipilih sebagai Da'i Pilihan D'Herbs dan membawa pulang trofi serta iPad.
Tidak pulang dengan tangan kosong, dua lagi peserta iaitu Fuad dan Hidayu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 serta hadiah iringan.
Ketiga-tiga peserta diuji menerusi dua segmen pada pentas akhir semalam. Pada segmen pertama, para peserta diberi masa selama lima minit untuk menyampaikan tazkirah berdasarkan topik pilihan masing-masing.
Pada segmen kedua pula, ketiga-tiga mereka diuji dengan lima soalan Imtihan yang diajukan oleh juri-juri profesional dan seterusnya, menjawab soalan huraian yang diajukan oleh para penonton secara rawak selama tiga minit.
Barisan juri yang memberikan kritikan membina terdiri daripada dua juri tetap iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Syarhan Safie manakala Ustaz Badli Shah Alaudin selaku juri jemputan.
Manakala kerusi juri awam pula dibarisi oleh beberapa selebriti terkemuka tanah air iaitu Erra Fazira, Dari Seri Umie Aida, Memey Suhaiza, Aida Gadis Melayu, Da'i Adibah, Norman Hakim, Syafiq Kyle, Saiful Nizam dan Da'i Farhan.
Da'i musim ketiga ini dibawakan secara eksklusif oleh produk D'Herbs Holdings Sdn Bhd selaku penaja utama yang diacarakan oleh Datuk Rosyam Nor .
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment