Bajet 2016: Nilai BB1M tidak dikurangkan. Dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan nanti, Kementerian Pendidikan Tinggi menjangkakan insentif kerajaan kepada pelajar menerusi program Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) tidak akan dikurangkan .
Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata, hanya sistem pengagihan BB1M yang akan ditambah baik berikutan kementeriannya mengesan terdapat beberapa pihak telah menyalahgunakan baucer itu sebelum ini.
"Sama ada nilai BB1M akan ditambah atau sebaliknya Perdana Menteri akan putuskan (dalam Bajet 2016) tetapi saya rasa tidak akan dikurangkan cuma sistem pengedaran baucer itu akan diubah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tadbir Urus 1 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Multisistem petang Rabu.
Turut hadir dalam program itu adalah Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin dan Naib Canselornya Tan Sri Profesor Sahol Hamid Abu Bakar.
Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM325 juta menerusi program BB1M dalam bajet sebelum ini, .
Datuk Seri Idris juga berharap agar sektor pendidikan tinggi akan terus diberi keutamaan dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
"Kita tahu bajet ini agak sukar untuk kerajaan dengan kejatuhan harga minyak, kejatuhan komoditi serta ekonomi yang agak tenat di seluruh dunia namun kita mengharapkan yang terbaik.
"Bagaimanapun apa dijanjikan oleh Perdana Menteri beliau akan cuba yang terbaik," katanya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment